
Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga minyak buat kali kelima tahun ini selepas naik mendadak pada Mac lalu. Harga minyak petrol mulai esok ialah RM 1.90 dan diesel RM1.80.
Harga baru minyak ini sudah pasti melegakan pengguna dan rakyat yang cukup terbeban dengan kenaikan sebelum ini.
Walau bagaimanapun dalam saat harga minyak yang diturunkan, rakyat masih lagi mengeluh dengan harga barang terutama barang basah dan keperluan harian yang tidak terdapat sebarang tanda-tanda akan diturunkan.
Bayangkan harga di sebuah restoran lauk sotong saiz C besar ibu jari budak, untuk empat ekor harganya RM 6 untuk seorang makan dan harga sepinggan nasi putih pula RM 1.50. Ini merupakan pengalaman yang saya lalui sendiri semasa menjamu selera di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Manakala harga barang basah seperti ikan dan sayur-sayuran naik mendadak. sebagai contoh,harga sekilogram ikan kembung yang dibeli beberapa hari lepas di Pasar Besar Melaka adalah RM 12 dan ikan tenggiri kecil pula ialah RM 22.Menurut peniaga harga barang basah ini dijangka akan terus meningkat. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kesukaran mendapat bekalan ekoran musim tengkujuh di Pantai Timur Semenanjung sekarang.
Apa yang pasti rakyat terutama golongan bawahan hanya mampu senyum tawar dengan kadar baru minyak yang turun esok. Hakikatnya tidak ada apa yang hendak digembirakan seperti sebelumnya.
Walaupun Pak Lah menyeru agar peniaga menurunkan harga barang harian, seruan Pak Lah tidak mendapat reaksi daripada peniaga. Tak boleh nak salahkan peniaga 100%. Apabila kerajaan menaikkan harga minyak secara drastik pada Mac lalu, peniaga mengalami peningkatan kos yang ketara akibat kenaikan operasi pengeluaran dan pengangkutan.
Begitu juga dengan peneroka dan penoreh getah yang rata-rata golongan berpendapatan rendah yang saban hari menanggung derita akibat harga getah dan sawit yang menjunam jatuh di pasaran. Tetapi dalam masa yang sama, kos baja, racun dan upah semakin meningkat.
Jika begini keadaannya, penurunan harga minyak tidak mampu untuk memulihkan kadar inflasi yang tinggi dan menjamin harga barang akan diturunkan. Subsidi minyak yang tidak lagi ditampung oleh keraajaan, malah rakyat sebenarnya membayar harga minyak lebih mahal di pam sepatutnya digunakan lebihan bernilai bilion ringgit untuk menampung dan membantu golongan yang berpendapatan rendah yang terjejas teruk kesan kegawatan ekonomi melanda negara.
Di antara langkah yang boleh dilakukan ialah memberi subsidi kepada barang keperluan pengguna seperti minyak masak, beras, susu dan gula. selain itu kerajaan boleh menetapkan semua barang keperluan harian berkenaan dijadikan sebagai barang kawalan.
Apa yang lebih penting kerajaan perlu sentiasa serius dan peka dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat khususnya oleh golongan bawahan yang berpendapatan rendah.



